Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam. Semoga kita semua dilindungi dari gangguan syaitan laknatullah dan semoga mereka yang telah berjaya disesatkannya diberi hidayah oleh Allah s.w.t dan diberikan peluang untuk kembali ke jalan-Nya yang lurus.
Ingin saya ketengahkan di sini tentang isu yang semakin hangat di perkatakan. Mungkin ramai yang hanya tidak sedar yang penulisan yang ditulisnya mengandungi unsur-unsur fitnah dan hasutan. Jadi saya ingin bangkitkan isu ini, semoga kita dapat berkongsi pendapat bersama.
Internet merupakan sebuah jaringan yang menghubungkan orang ramai dengan menyalurkan pelbagai maklumat. Jika dahulu ianya wujud sebagai sumber pertahanan Amerika Syarikat untuk menghadapi serangan nuklear Rusia pada zaman perang dingin, kini ianya menjadi medan orang ramai untuk menyuarakan pandangan hati masing-masing.
Berita dalam talian semakin pesat membangun di dalam masyarakat kita kini. Ianya bukan lagi perkara baru dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Pelbagai khabar mengenai berita dalam talian ini telah tersebar. Antara yang menjadi perhatian adalah penulisan Raja Petra di dalam Malaysia Today mengaitkan kes pembunuhan rakyat Mongolia iaitu Altantuya Shaariibuu dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
‘Blog’ dahulunya pernah disyorkan oleh Puan Adelina Iskandar, ketua Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2005 agar aktiviti menulis blog ini menjadi aktiviti berfaedah di masa lapang kepada orang ramai sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara.
Pada asasnya ianya diwujudkan bagi menulis catatan peribadi penulis. Kini, ianya bukan sahaja menjadi medan maklumat orang ramai malah medan bertikaman lidah di antara individu. Contohnya dapat dilihat dilaman-laman blog parti politik. Pembangkang yang sedar laluan untuk mereka bersuara tertutup di medan arus perdana kini lebih bijak mencari alternative berita dalam talian.
‘Tsunami blog’ yang melanda kini juga telah memperlihatkan kekalahan besar Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Isu ini membuka mata semua pihak mengenai kuasa dan hebatnya wabak berita dalam talian ini. Namun ketelusannya masih lagi menjadi bahan kajian.
Namun pelbagai soalan menjadi tanda tanya. Benarkah berita dalam talian ini boleh dipercayai? Apakah berita yang ditulis adalah berdasarkan fakta atau sekadar naluri tekaan si penulis semata-mata? Adakah semua ini hanya bermotifkan kepentingan sendiri? Sehinggakan sanggup mempertaruhkan kata-kata yang berbaur fitnah dan hasutan. Hanya Dia dan penulis (blogers) sahaja yang tahu kebenarannya.
Menurut undang-undang ciptaan di Malaysia, belum ada akta lagi yang termaktub mengenai penulisan berita dalam talian ini. Akan tetapi, terdapat akta yang membataskan seseorang daripada menabur fitnah. Menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara Malaysia berhak untuk bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran. Walaubagaimanapun, ia bukanlah merupakan kebebasan yang mutlak.
Bahkan Perkara 10(2)(a) membenarkan Parlimen mengenakan:
Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhugungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelak penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.
Benar, kebebasan untuk bersuara adalah hak kebebasan asasi manusia di Malaysia. Selagi ianya tidak berunsur fitnah atau hasutan ianya dibenarkan. Sekatan ini timbul bagi melindungi nama baik seseorang daripada diaibkan.
Fitnah yang berlaku di ruang siber ini dianggap sebagai fitnah berbentuk libel. Berdasarkan peruntukan seksyen 3, Akta Fitnah 1957 dalam undang-undang Malaysia yang memperuntukkan:
“Bagi maksud undang-undang libel dan slander, penyiaran perkataan dengan cara komunikasi radio hendaklah dianggap sebagai penerbitan dalam bentuk tetap.”
Ini memperkukuhkan lagi bahawa berita dalam talian iaitu penerbitan tetap boleh dikategorikan sebagai fitnah libel, fitnah yang lahir melalui penglihatan atau mata.
Sebagai seseorang yang beragama Islam pula, Islam memberi kebebasan bercakap dan menyuarakan pendapat. Apatah lagi kepada perkara yang menuju ke arah kebaikan dan menolak keburukan. Surah al-Nisa’ ayat 148:
Terjemahan: Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Sesungguhnya Islam mengharamkan fitnah tanpa mengira wahananya samada berita dalam talian ataupun di akhbar. Ini dapat diperkuatkan lagi dengan maksud ayat-ayat berikut. Maksud ayat daripada Surah al-Hujurat “…dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain…” dan maksud ayat 11, Surah al-Qalam “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)”.
Akan tetapi, semua perkara diatas tidak diambil peduli. Bahkan kerajaan telah mengeluarkan amaran agar tidak menyebarkan berita yang berunsur fitnah dan hasutan. Perkara ini sukar dilaksanakan kerana Internet tidak dapat menapis bahan-bahan yang dimasukkan ke dalamnya kerana terlalu banyak.
Ini memudahkan lagi kerja para penulis untuk menarik minat pembaca. Berita dalam talian ini mendapat sambutan ramai kerana pembaca boleh memberi pendapat dan pandangan terbuka kepada bahan penulisan penulis dengan mudah dan cepat.
Tidak dinafikan terdapat ramai penulis yang berbakat dan berwibawa. Semuanya bercita-cita menjadi sasterawan Negara dan terkenal. Tidak salah pun jika berkongsi ilmu dengn orang ramai berdasarkan pemikiran bernas penulis. Namun berhati-hatilah jangan sampai kena cekup! Isu yang dikongsi haruslah untuk pembangunan bersama. Bukannya menulis untuk memuaskan hati tanpa bukti.
Isu yang diketengahkan juga boleh mendapat perhatian dari pihak pelbagai peringkat umur, bangsa, agama dan negara kerana selalunya ia melibatkan konflik. Seringkali wujudnya pertelingkahan kerana perbezaan pendapat. Sesetengah pembaca akan terbawa-bawa isu yang diketengahkan oleh penulis sehingga ke luar ruang siber. Ini boleh membawa kepada pepecahan masyarakat.
Sebagai contoh www.malayria.blogspot.com. Penulis telah bertindak melampaui batas dengan membuat hasutan dan fitnah mengenai kerajaan dan Negara Malaysia. Ini boleh membawa kepada pergaduhan di antara rakyat Malaysia dan Indonesia yang berjiran dan mempunyai hubungan diplomatik yang baik.
Negara Malaysia yang bebilang kaum juga akan jatuh dan berpecah belah jika penulis terus menghasut dan bergaduh sesama kaum. Sepatutnya wahana ini digunakan untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk bersama-sama berpimpin tangan menepis bencana luar yang ingin menghapuskan kita. Jika penulis mementingkan diri sendiri dan menyebabkan pergaduhan,siapa lagi akan membela nasib kita dan cucu kita sebagai rakyat Malaysia.
Sultan Pahang sendiri telah murka dengan penulis berita dalam talian. “Bloggers (pengendali blog) ini hanya hendak menyakitkan hati, benda bukan-bukan dikatakan benar. Walhal, kerajaan telah membawa pelbagai pembangunan untuk rakyat. Tiada diskriminasi di antara orang Melayu, Cina, India, kaya atau miskin,” titah baginda. (Utusan Malaysia online Selasa 15/07/2008)
Oleh demikian, saya seru kepada rakan ‘blogers’ diluar sana. Berhati-hati ketika menulis. Pandang kanan dan kiri dahulu. Yang penting fikir sebelum tulis. Mungkin kita ingat niat kita betul, akan tetapi orang yang membaca mungkin akan salah faham. Jangan sampai orang ‘label’kan kita sebagai ‘blogers’ kurang ajar. Jadi, tulislah dengan cepat, tegas dan betul! Jangan lupa integriti! Selamat beramal….(^_^)
Saturday, August 30, 2008
Sunday, August 24, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
